Kerap makan ikan masin boleh menyebabkan kanser, berita yang mungkin kurang enak kepada penggemar makanan yang disifatkan ‘penyedap’ selera itu.

Kemungkinan itu berlaku kerana cara pemprosesan ikan masin menyebabkan kandungan zat nitrosamin yang terdapat dalam makanan itu mampu mengaktifkan virus Epstein Barr (EBV), yang mempunyai reseptor untuk mengubah struktur sel dan mengakibatkan terjadinya kanser pada bahagian belakang hidung dinamakan nasofarinks.

Mengambil sajian ikan masin atau daging yang dimasak masin secara berterusan dengan jumlah yang banyak meningkatkan risiko untuk mendapat kanser ini, yang merupakan kanser ketiga paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di Malaysia.

Menurut Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pantai Ampang, Dr. Tan Teck Soon, kanser hidung mencatatkan peratusan yang tinggi di negara-negara Asia termasuk Malaysia berbanding di Barat disebabkan pemakanan masyarakat di rantau ini, yang merupakan antara faktor risiko berlakunya kanser.

“Di Malaysia, kaum Cina mencatatkan peratusan tertinggi berbanding kaum-kaum lain disebabkan faktor genetik, serta amalan pemakanan masyarakat Cina yang sangat gemarkan hidangan ikan masin dan daging masin.

“Kanser ini juga boleh berlaku kepada semua peringkat usia tetapi catatan paling tinggi kalangan mereka yang berusia 50 hingga 70 tahun. Begitupun, sehingga kini tidak diketahui punca mengapa berlaku kepada golongan pada usia tersebut,” 

Ujarnya, kanser tersebut berlaku pada bahagian nasofarinks apabila pertambahan bilangan sel akibat kadar pertumbuhan dan pembahagian sel yang berlaku secara tidak normal dan tidak terkawal, mengganggu saluran pernafasan.

Namun, sebab sebenar berlakunya keadaan itu sehingga kini tidak diketahui lagi, melainkan faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga, jangkitan virus EBV, pencemaran udara dan pemakanan sebagai teori yang sering dikaitkan dengan kanser nasofarinks.

Gejala seperti alahan

Katanya, disebabkan lokasi nasofarinks yang terletak pada bahagian yang menjadi penghubung antara rongga hidung dan saluran pernafasan yang lain, gejala dan tanda yang ditunjukkan oleh pesakit kanser nasofarinks akan kelihatan, namun apa yang membimbangkan gejalanya sama seperti alahan menyebabkan ramai yang memandang ringan.

Menurutnya, ada sesetengah kes langsung tidak menunjukkan simptom kerana ruang yang besar pada bahagian nasofarinks menyebabkan ketumbuhan boleh berlaku di mana-mana sahaja, kecuali bengkak di leher yang boleh disalahertikan sebagai alahan.

“Walaupun mendapat tanda-tanda seperti bengkak di bahagian leher, hidung atau pernafasan tersumbat, pendarahan di dalam hidung, kurang pendengaran dan gangguan saraf di sekitar mata yang mengakibatkan masalah penglihatan, kebanyakan pesakit memilih untuk mendiamkan diri dan tidak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan apabila didiagnosis, kanser sudah berada di peringkat serius.

“Kebanyakan kes, pesakit datang berjumpa saya menyangka mereka menghidap alahan. Namun, selepas melakukan pemeriksaan secara lanjut seperti prosedur endoskopi, menunjukkan dengan jelas nasofarinks yang terjejas.

“Di situ barulah mereka menyedari bahawa mereka menghidap kanser dan telah memasuki tahap tiga atau empat.

“Selain daripada sampel tisu diambil untuk kajian pengesahan, imbasan berkomputer (CT scan) atau imbasan pengimejan resonan magnetik (MRI scan) juga diperlukan untuk melihat sejauh mana ketumbuhan tersebut telah merebak dan bagi menentukan jenis rawatan selanjutnya,” ujarnya.

Dr. Tan berkata, jika lewat dikesan, ketumbuhan boleh merebak sehingga ke bahagian otak yang menyebabkan sakit di bahagian kepala atau masuk ke dalam tekak yang mengganggu proses menelan, seterusnya membawa maut apabila sudah merebak ke hati atau paru-paru.

Katanya, bagi pesakit kanser tahap empat kadar penyembuhan adalah sangat rendah walaupun diberi rawatan. Kebanyakan rawatan yang diberikan kepada mereka adalah berbentuk paliatif, iaitu mengawal simptom.

Dalam kes kanser nasofarinks, rawatan utama adalah radioterapi dan kemoterapi. Kebanyakan pesakit menunjukkan respons yang baik terhadap rawatan tersebut, namun semua bergantung kepada keadaan pesakit.

“Pesakit dalam kalangan orang tua mungkin tidak bersesuaian untuk menerima rawatan radioterapi. Keputusan bergantung kepada perbincangan antara pesakit dan doktor pakar.

“Pembedahan merupakan rawatan sokongan sekiranya didapati kelenjar limfa leher yang membengkak tidak menunjukkan tindak balas kepada rawatan radioterapi dan kemoterapi,” ujarnya.

Beliau berkata, pentingnya pemeriksaan awal jika menyedari bahawa mereka mempunyai faktor-faktor risiko terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga.

Bagaimanapun, dengan mengetahui faktor-faktor risiko lain yang boleh meningkatkan peluang seseorang mendapat penyakit ini, sudah cukup baik sebagai langkah berjaga-jaga.