Biasalah kalau bayi yang baru lahir ada kuning sikit-sikit. Esok cuba jemur bayi di bawah sinaran matahari pagi, akan kuranglah kuningnya. Inilah kata-kata biasa yang kita dengar apabila bayi dilahirkan mula bertukar warna kuning bermula di bahagian kepala turun ke kaki. Mungkin langkah awal ini boleh diambil bagi mengatasi masalah demam kuning pada bayi yang baru lahir.

Bagaimanapun jika warna kuning pada bayi berterusan, ibu bapa dan penjaga perlu membawa bayi mereka ke hospital atau klinik kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

Dalam kebanyakan kes demam kuning atau dalam istilah perubatan, jaundis, ia tidak berbahaya dan boleh hilang secara semula jadi dengan penjagaan rapi seperti memberikan bayi susu ibu sekerap mungkin.

Bagaimanapun jika bayi masih kuning dalam tempoh satu hingga dua minggu, jangan ambil ringan kerana dalam kes tertentu jaundis boleh membahayakan kesihatan dan menjejas pertumbuhan bayi dan memerlukan pemerhatian rapi daripada pakar perubatan.

Pakar Pediatrik KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun berkata, kira-kira 60 hingga 70 peratus bayi yang baru dilahirkan dengan demam kuning dan satu pertiga daripadanya hanya memerlukan rawatan fototerapi dan kekerapan pemberian susu ibu untuk pulih seperti biasa.

“Definisi demam kuning yang visible atau kelihatan adalah kuning pada mata, muka, leher bermula dari kepala dan turun hingga ke kaki,” katanya semasa ditemui di KPJ Kajang, Selangor baru-baru ini.

Demam kuning berlaku apabila bilirulin iaitu pigmen kuning yang terhasil ketika penguraian normal sel darah merah. Biasanya jaundis berlaku dari hari pertama hingga keempat tetapi bergantung pada jenis demam kuning. Jika selepas 14 hari bayi tidak ada tanda-tanda demam kuning, mungkin bayi terselamat daripada terkena penyakit utama bayi baru lahir.

Bilirubin adalah bahan yang terdapat dalam sel darah merah manusia. Bilirubin dirembeskan oleh hati yang mempunyai peranan penting dalam sistem pencernaan. Kandungan bilirubin tinggi boleh disebabkan oleh pemecahan sel darah merah yang membebaskan bilirubin atau terdapat masalah dalam sistem hati serta salurannya.

Darah
Antara faktor yang menyebabkan demam kuning pada bayi adalah masalah darah ABO atau ABO incompatible iaitu darah ibu dan anak tidak sama O. Biasanya apabila darah ibu jenis O tetapi anak bukan O. Begitu juga apabila perbezaan dalam jenis darah Rh-ve dan Rh+ve.

“Demam kuning pada bayi baru lahir mungkin bahaya dan tidak bergantung kepada jenis bilirubin, masa dan tempoh bayi didapati kelihatan kuning dan tahap bacaan bilirubin dalam darah. Biasanya warna kuning pada bayi mula kelihatan pada usia dua hingga tiga hari setelah dilahirkan.

“Bayi menjadi kuning kerana proses semula jadi yang berlaku secara perlahan-lahan, iaitu tubuh bayi akan membuang semua sel darah merah lama yang digunakan dalam kandungan ibu dan digantikan dengan sel darah merah baharu,” katanya.

Faktor fungsi hati yang belum benar-benar matang juga turut menyumbang kepada keadaan kuning. Bilirubin yang terkumpul dalam darah akan dinyahkan daripada badan melalui najis dan air kencing bayi. Jadi adalah sangat penting untuk memastikan bayi terus diberi susu badan secukupnya dan bayi membuang air kecil dan besar.

Walaupun biasanya warna kuning pada bayi adalah normal, tetapi paras bilirubin yang terlalu tinggi akan mengubah keadaan menjadi tidak normal. Tahap bilirubin daripada sel darah merah yang terlalu tinggi adalah toksik kepada sel otak. Ini adalah sangat berbahaya kerana otak merupakan pusat kawalan seluruh badan. Dalam kes-kes yang tertentu boleh menyebabkan kecacatan kekal pada sistem otak atau hati sehingga menyebabkan pemindahan hati.