Kita semua tahu cahaya matahari mengandungi sinaran ultraungu (UV) yang mempunyai kebaikan dan keburukan kepada kesihatan. Namun, majoriti tidak menyedari cahaya matahari juga mengandungi sinaran biru (blue light) yang membahayakan mata jika terdedah berlebihan.

Cahaya matahari terdiri daripada partikel spektrum elektromagnetik yang bergerak menerusi gelombang. Gelombang ini memancarkan tenaga dalam pelbagai ukuran dan kekuatan. Lebih pendek jarak gelombang bermaksud lebih tinggi tenaganya.

Setiap gelombang diwakili pelbagai warna dan dikategorikan dalam kumpulan seperti sinar gamma, sinar X, sinar ultraungu, sinar inframerah dan gelombang radio. Bagaimanapun, mata manusia hanya sensitif pada satu bahagian spektrum iaitu cahaya yang boleh dilihat seperti warna ungu, indigo, biru, hijau, kuning, jingga dan merah.

Sinaran biru mempunyai jarak gelombang yang sangat pendek dan ini membuatkan ia menghasilkan sejumlah tenaga yang lebih tinggi. Kajian menunjukkan pendedahan pada sinaran biru secara berlebihan dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan serius kepada mata.
Ini kerana, sinaran biru menjangkau jauh ke dalam mata dan kesan kumulatifnya iaitu pendedahan sedikit demi sedikit dalam jangka panjang boleh menyebabkan kerosakan kepada retina termasuk pembentukan penyakit mata akibat kemerosotan makular berkaitan usia (AMD).
Namun, sinaran biru tidak hanya dipancarkan oleh sumber semula jadi matahari kerana mata kita juga menyerap cahaya boleh dilihat bertenaga tinggi (HEV) ini daripada sumber buatan.

Setiap hari mata kita terdedah kepada sinaran biru dipancarkan daripada pencahayaan diod pemancar cahaya (LED), lampu kalimantang, skrin digital (televisyen, komputer, telefon bimbit, tablet) dan peranti elektronik.

Pakar Optik dan Pengurus Pembangunan Komersial, Essilor (Malaysia), Daniel Yong berkata, kita tidak dapat mengelak daripada menggunakan produk teknologi skrin digital dan peranti elektronik dalam kehidupan harian sama ada di rumah atau pejabat.
Gaya hidup digital ini turut meningkatkan risiko kepada kesihatan terutama mata apabila organ penting itu mengalami keletihan, pedih dan kemerah-merahan.
Menurutnya, pendedahan kepada sinaran biru yang terlalu banyak sebenarnya menyebabkan kerosakan kekal pada mata berikutan tenaga HEV itu juga berupaya menembusi mata dari semua arah termasuk belakang mata walaupun organ ini mempunyai penapis semula jadi.

Penapis semula jadi mata kita tidak membekalkan perlindungan mencukupi bagi menentang sinaran biru dari cahaya matahari apatah lagi yang dipancarkan daripada produk skrin digital. Pendedahan berterusan dan kesan kumulatif kepada sinaran biru mengakibatkan sel retina mati perlahan-lahan dan menyumbang kepada AMD.
“AMD adalah kehilangan penglihatan sedikit demi sedikit akibat penuaan dan manusia mendapat AMD seiring dengan peningkatan usia. Biasanya, AMD dihidap mereka yang berusia 70 hingga 75 tahun, tetapi sinaran biru mempercepatkan proses kemerosotan makular kira-kira 10 tahun lebih awal.
“Penyakit mata akibat kemerosotan makular ini juga adalah penyebab utama kebutaan dan gejala timbul apabila terdapat satu bintik hitam di tengah-tengah pandangan dan penghidap perlu melirik bola mata ke tepi untuk melihat,” katanya.
Cahaya memasuki mata melalui kornea yang terletak di depan bebola mata sebelum kanta membawa cahaya itu kepada retina. Kornea adalah penghadang telus yang melindungi iris, pupil dan bahagian luaran lain. Retina pula tisu berlapis yang sangat nipis dan menutupi dalaman bebola mata dan sinaran biru bertenaga tinggi merosakkan mata dengan menjejaskan kanta dan retina.

Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada berisiko mendapat AMD lebih awal dan mereka lebih mudah terdedah pada kerosakan mata disebabkan kanta mata mereka kurang cekap menapis sinaran terbabit. Ini kerana, sebelum usia 10 tahun mata kanak-kanak belum terbentuk sepenuhnya apabila kanta dan kornea mereka masih lagi telus kepada cahaya.

“Apapun, bukan semua sinaran biru dari sumber matahari mendatangkan bahaya kerana jalur cahaya biru turquoise dengan jarak gelombang 465nm hingga 495nm sangat penting kepada penglihatan dan kesihatan manusia. Ini kerana, cahaya biru turquoise memberi kesan kepada refleks pupil mata dan mengawal jam biologi tubuh manusia.

“Kekurangan cahaya biru turquoise mengakibatkan gangguan tidur, perubahan mood, lemah memori, suhu badan tidak menentu dan kurang kecerdasan,” katanya.

Daniel berkata, bukan sinaran biru saja yang wajar diberikan perhatian kerana pendedahan berlebihan kepada cahaya tidak boleh dilihat bertenaga tinggi seperti sinaran UV yang dipecahkan kepada tiga kategori juga menyebabkan kerosakan seperti katarak yang boleh mengakibatkan kehilangan pandangan sementara.

“Sinaran UVC dengan jarak gelombang 100 hingga 280 nanometer (nm) mempunyai tenaga paling tinggi dalam sinaran UV dan berpotensi mendatangkan bahaya kepada kulit dan mata. Tetapi, lapisan ozon di atmosfera menghalang kemasukan sinaran ini ke permukaan bumi.

“Sinaran UVB dengan jarak gelombang 280 hingga 315 nm mempunyai kadar tenaga lebih rendah daripada UVC. Sinaran ini juga ditapis oleh lapisan ozon tetapi masih mampu menembusi permukaan bumi dan menjejaskan kulit dan mata.

“Sinaran UVA dengan jarak gelombang 315 hingga 400nm adalah paling hampir dengan sinaran cahaya yang boleh dilihat. Walaupun tenaganya lebih rendah daripada UVB dan UVC, ia boleh menembusi kornea dan menjangkau kanta dan retina dalam mata.

“Pendedahan yang berlebihan kepada UVA juga dikaitkan dengan pembentukan penyakit mata seperti katarak, malah penyelidik juga mendakwa sinaran ini turut meningkatkan kemerosotan makular,” katanya.

Beliau berkata, Essilor menerusi penyelidikan khusus mengenai perlindungan mata daripada sinaran berbahaya membangunkan kanta cermin mata berteknologi tinggi dinamakan Crizal untuk merintang sinaran biru dan UV daripada memasuki mata.

“Menerusi teknologi tanpa silau ini kanta cermin mata dibina dengan material terpilih yang mampu menapis sinaran berbahaya terbabit. Tetapi, pada masa sama ia membenarkan cahaya boleh dilihat yang bermanfaat termasuk sinaran biru turquoise untuk memasuki mata.

“Malah, teknologi ini juga mengekalkan ketelusan kanta cermin mata yang mampu memberi penglihatan dengan tahap kejelasan yang tinggi dan warna juga tidak kabur. Kanta cermin mata juga diperkemas dengan faktor perlindungan matahari untuk mata (E-SPF) sebanyak 25 kali ganda,” katanya.

Daniel berkata, perlindungan diberi kanta dengan teknologi dibangunkan Essilor bukan setakat bahagian luar kaca mata untuk menapis sinaran berbahaya, malah perlindungan turut diberi di bahagian dalam untuk mengelak silau yang dibias dari permukaan belakang kanta.
Pengguna yang banyak terdedah dengan lampu kalimantang dan LED di pejabat atau rumah, peng­guna kerap skrin digital dan gajet elektronik serta mereka yang berisiko mendapat AMD terutama dengan sejarah keluarga yang berpenyakit itu digalakkan memakai cermin mata untuk penjagaan mata berterusan.
“Mata yang sihat dengan penglihatan yang baik adalah anugerah untuk manusia dan kita akan hilang nikmat untuk melihat jika organ penting ini disia-siakan dengan tiada penjagaan yang baik.

“Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi menjaga mata daripada mengalami kerosakan serius sehingga menjejaskan penglihatan berikutan tidak kira di mana kita berada di luar atau pejabat kita sering terdedah pada kesan buruk sinaran berbahaya terbabit.

“Penjagaan mata perlu dimulakan dari peringkat awal dan cara paling mudah melindungi mata kita adalah dengan memakai cermin mata dan pelindung mata ini juga sudah dikelaskan sebagai peranti perubatan,” katanya.

Menurutnya, pengguna juga perlu memilih cermin mata yang selaras dengan tahap kesihatan matanya dan penggunaan mengikut situasi kerana memakai kaca mata yang tidak sesuai akan memburukkan lagi masalah mata.

Justeru adalah penting pengguna yang ingin memakai cermin mata sama ada untuk mengatasi masalah rabun atau untuk menapis sinaran berbahaya menemui pakar bagi pemeriksaan dan nasihat penggunaan jenis cermin mata.