Ini bukan sesuatu yang memalukan walaupun ia melibatkan bahagian alat sulit wanita. Apa sahaja berkaitan dengan 'Miss V' adalah sesuatu yang memalukan dan tidak boleh diceritakan kepada orang lain walaupun ia berkaitan dengan masalah  kesihatan. Itu antara persepsi kebanyakan wanita!

Bagaimanapun ramai wanita yang sering mengeluh mengenai masalah popular berkaitan dengan 'Miss V' iaitu keputihan. Keputihan adalah masalah normal yang sering berlaku kepada kebanyakan wanita. Yang membezakannya iaitu sama ada masalah itu serius atau sebaliknya. Hal ini berlaku kerana bahagian alat sulit wanita sangat sensitif kepada perubahan persekitaran terutama tahap keasidan dan kealkalian.

Berikut adalah isyarat jangkitan pada 'Miss V'

  • Pengeluaran lendir berwarna putih.
  • Gatal.
  • Berbau.
  • Sakit pada abdomen.
  • Demam.
  • Sakit ketika membuang air kecil.
  • Haid yang tidak menentu.

Oleh itu wanita haruslah tahu menjaga kebersihan alat sulitnya bagi memastikan tidak berlaku serangan jangkitan yang pasti akan membuatkan anda tidak selesa.

Petua Elak Jangkitan

  1. Pastikan kemaluan sentiasa berada dalam keadaan yang kering.
  2. Hindarkan penggunaan sabun atau gel pembersih yang mengandungi banyak bahan kimia pada alat kelamin kerana ia mungkin boleh menyebabkan rasa pedih, kering dan gatal. Sementara itu, ada sesetengah wanita sensitif dan alah kepada pewangi dalam buih sabun.
  3. Elakkan kekerapan melakukan douche iaitu memasukkan jari atau memancutkan cecair ke dalam faraj yang bertujuan membersihkan bahagian dalam Miss V.
  4. Sekiranya boleh, tukar tuala wanita terutamanya pada hari darah haid keluar dalam jumlah yang banyak. Jika menggunakan tampon pula, elakkan jenis tampon yang mengandungi bahan pewangi.
  5. Gunakan seluar dalam yang tidak terlalu ketat dan diperbuat daripada kapas. Tukar penggunaannya dengan lebih kerap pada hari lendir banyak dikeluarkan. Sebaik-baiknya pakai pelapik seluar dalam supaya lendir berkenaan tidak melekat pada pakaian dalam sehingga menyebabkan ketidakselesaan.
  6. Jauhkan amalan pemakaian seluar dalam jenis sintetik yang terlalu ketat kerana ia akan menambahkan lagi masalah. Fabrik jenis ini akan menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara yang akhirnya menggalakkan kuman membiak.
  7. Anda dan suami sangat digalakkan untuk membersihkan alat kelamin menggunakan air bersih sebelum dan selepas melakukan hubungan seks bagi memastikan tahap kebersihan yang optimum.

Sumber : PaMa