Ramai ibu bapa beranggapan tidur bersama bayi dengan berkongsi katil atau tilam adalah cara paling selamat untuk melindungi si kecil, di samping dapat mengeratkan lagi ikatan antara kedua-dua pihak.

Memang benar tidur bersama bayi atau istilahnya ‘co-sleeping’ membolehkan ibu bapa lebih rapat dengan si kecil kerana langkah itu memberi ibu bapa masa tambahan bersama bayi. Tidur dengan bayi juga membolehkan ibu bapa segera bertindak jika si kecil mula batuk atau menangis pada waktu malam.

Malah, bayi yang tidur berkongsi katil dengan ibu mereka dikatakan cenderung untuk menyusu lebih kerap dan tempoh lebih lama berbanding bayi yang tidur bersendirian.

Bayi yang tidur dengan ibu bapa juga dikatakan tidak kerap terbangun pada waktu malam dan berjaga dalam tempoh masa lebih pendek serta kurang menangis.

Namun, amalan ‘co-sleeping’ jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul dan selamat boleh membahayakan nyawa bayi kerana meningkatkan risiko sindrom kematian bayi mengejut (SIDS).

Sindrom ini berlaku dalam kalangan bayi berusia kurang setahun dan kematian bayi yang tidak dapat diungkapkan puncanya ini biasa berlaku ketika si kecil tidur. Oleh itu, kematian sedemikan juga dikenali sebagai maut di tempat tidur (crib death).

SIDS dikaitkan dengan ketidaknormalan sebahagian otak bayi yang mengawal pernafasan dan bangkit tidur. Penyelidik menemui beberapa faktor yang meletakkan bayi pada risiko kematian terbabit.

Kombinasi fizikal dan faktor persekitaran tidur boleh menyebabkan bayi mudah terdedah kepada SIDS. Namun demikian faktor risiko adalah berbeza bagi setiap bayi.

Faktor fizikal yang dikaitkan dengan SIDS seperti :

  • Kelainan otak bayi apabila ada bayi dilahirkan dengan masalah dalam kawalan pernafasan dan bangkit tidur, dilahirkan pra matang atau tidak cukup berat dan otak bayi yang tidak matang sepenuhnya menyebabkan kurang kawalan pada proses bernafas dan degup jantung.
  • Jangkitan respiratori juga dikaitkan dengan SIDS apabila kebanyakan bayi yang maut secara tiba-tiba itu menghidap selesema yang menyumbang kepada masalah pernafasan.

Bagi faktor persekitaran tidur pula :

  • Sama ada peralatan seperti bantal, selimut dan anak patung yang diletakkan di tempat tidur dan posisi bayi tidur juga meningkatkan risiko SIDS. 
  • Bayi yang ditidurkan meniarap mungkin berdepan masalah sukar bernafas berbanding tidur terlentang, malah tilam atau alas tidur lembut boleh menyekat pernafasan bayi kerana muka si kecil terbenam ketika tidur.
  • Bayi yang tidur bersama ibu bapa atau adik-beradik juga menyumbang kepada risiko SIDS kerana bila-bila masa si kecil boleh maut akibat lemas disebabkan tertindih atau terhimpit secara tidak sengaja.


Perunding Pediatrik dan Neonatologi Hospital Pakar KPJ Damansara (KPJ DSH), Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata,
Tidak dinafikan tidur bersama bayi itu ada kebaikannya, tetapi pada masa sama ibu bapa perlu sedar risiko yang ada dan boleh menjejaskan keselamatan bayi termasuk mengancam nyawa.
“Di Barat sebelum ini tidak menggalakkan amalan ‘co-sleeping’ atas faktor keselamatan, namun kini dibenarkan tetapi perlu dilakukan dengan cara yang selamat dan ibu bapa mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu atau melakukan rujukan.
“Bagaimanapun, amalan itu tidak disyorkan bagi bayi pramatang dan kurang berat kerana menyumbang kepada SIDS. Bagi bayi kurang enam bulan lebih selamat ditidurkan berhampiran ibu dalam bilik tetapi katil atau tilam berlainan. Ini boleh mengurangkan risiko bayi mendapat SIDS akibat lemas kepanasan kerana berkongsi selimut de­ngan ibu.
“Ibu bapa di bawah pe­ngaruh alkohol atau ubatan dan terlalu letih juga tidak digalakkan tidur bersama bayi kerana mereka mungkin tidur lena sehingga tidak sedar si kecil bersama dan tidak dapat bertindak balas jika bayi bangkit dan menangis. Merokok sebelum tidur juga mendedahkan bayi kepada bahan toksik asap kedua.
“Bagi segelintir ibu mudah untuk menyusukan bayi jika tidur bersama, namun apa akan jadi jika si ibu tertidur? Bayi mungkin lemas akibat kesukaran bernafas kerana wajahnya tertangkup pada payudara ibu. Begitu juga dengan ibu bapa yang menghadapi gangguan tidur dan mungkin menindih bayi mereka ketika tidur bersama,” katanya.
Sumber : HMetro