Susu ibu sangat istimewa dari segi khasiat, penggunaan, penghasilan, penyimpanan dan bermacam perkara lagi. Bagi ibu-ibu yang menyusukan bayi dengan susu ibu, setiap titis susu tersebut amatlah berharga.

Apatah lagi sekiranya ibu menyusu adalah wanita bekerjaya yang perlu mengepam susu untuk dibuat stok susu perahan buat si manja. Maka setiap titis yang dihasilkan perlu disimpan dan tidak boleh dipersiakan.

Mungkin bagi ibu-ibu yang baharu pertama kali menyusukan anak akan timbul persoalan ;
 Bolehkah susu ibu perahan yang dibekukan dipanaskan berulang kali untuk diberi kepada bayi?
Kadang kala ada bayi yang tidak habis minum susu perahan di dalam botol susu semasa di bawah penjagaan pengasuh. Oleh kerana berasa sayang dengan baki susu tersebut, ada yang menyimpan semula dalam peti sejuk dan memanaskan kembali apabila bayi menangis hendak susu.

Jawapannya TIDAK BOLEH! Perlu diingatkan bahawa susu ibu mengandungi nutrien penting untuk bayi termasuk antibodi dan sel-sel hidup yang lain. Kesemua sel tersebut akan mati apabila dipanaskan melebihi suhu yang tinggi.

Jika nutrien tersebut sudah tiada maka bayi yang minum susu ibu itu tidak akan mendapat khasiat yang sepatutnya diperoleh oleh bayi menyusu susu ibu secara eksklusif. Jangan terkejut sekiranya anak anda mudah terkena jangkitan dan sebagainya.  Bukan salah susu ibu tetapi cara pengendalian stok susu ibu yang salah telah merosakkan kesemua nutriennya.

Oleh itu sekiranya ibu berhadapan dengan situasi di mana susu ibu (susu ibu beku yang sudah dicairkan terlebih dahulu dalam peti sejuk) sudah dipanaskan tetapi bayi tidak mahu menyusu kerana masih kenyang,atau susu ibu hanya diminum separuh sahaja oleh bayi maka ibu hanya perlu membiarkan susu tersebut dalam suhu bilik. Susu tersebut tahan dalam masa sejam dari waktu ia dipanaskan.

Jika dalam masa sejam susu masih lagi tidak habis diminum oleh bayi, buangkan sahaja ia. Tidak perlu berasa terkilan atau sayang dengan susu tersebut kerana ibu perlu lebih sayangkan perut anak yang mungkin terkena jangkitan sekiranya dipaksa menghabiskan susu yang kemungkinan sudah terdedah dengan bakteria dari mulut bayi sendiri.
Susu ibu yang sudah dipanaskan atau lebihan susu yang tidak habis diminum oleh bayi, tidak boleh disimpan dalam peti ais dan dipanaskan semula!

Sumber : PaMa