Kadang kala kerana terlalu teruja untuk menjaga kandungan, bakal ibu mengambil banyak suplemen tambahan selain yang dibekalkan oleh doktor. Tujuannya untuk menjaga kesihatan bayi dalam kandungan dan mahu anak lahir cergas dan bijak.

Persoalannya, perlukah wanita hamil mengambil suplemen multivitamin?
Sebenarnya selagi kehamilan anda sihat dan tidak bermasalah, cuma satu sahaja vitamin yang perlu diambil sebagai suplemen iaitu vitamin B atau asid folik.

Doktor juga biasanya akan membekalkan suplemen ini sejak awal kehamilan lagi. Sebaiknya ibu hamil mendapatkan pelbagai khasiat vitamin dan mineral lain yang diperlukan sepanjang hamil dengan memakan pelbagai makanan yang sihat. Diet yang seimbang adalah cara terbaik untuk mendapatkan nutrien yang ibu dan bayi perlukan.

Makanan yang sihat mestilah mengandungi empat kumpulan makanan berikut:

  1. Buah-buahan dan sayur-sayuran, sama ada segar, sejuk-beku, dalam tin atau yang kering. Cuba makan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
  2. Makanan berkanji dan mengenyangkan (karbohidrat) seperti roti, pasta, nasi dan kentang. Jadikan makanan berkanji sebagai asas hidangan anda dan sebaik-baiknya pilihlah bijian penuh.
  3. Makanan yang kaya dengan protein seperti daging, ikan, telur dan kekacang. Makanan-makanan ini juga merupakan sumber zat besi yang bagus.
  4. Makanan berasaskan tenusu yang mana mengandungi kalsium, seperti susu, keju dan yogurt. Sama seperti ikan dan garam laut, produk tenusu adalah sumber iodin baik yang diperlukan oleh ibu hamil untuk membantu perkembangan otak bayi.

Sebaiknya elakkan daripada makan terlalu banyak makanan dan minuman berlemak atau manis. Makanan ini mungkin mengenyangkan untuk jangka masa pendek, tetapi tidak membekalkan mineral dan vitamin yang diperlukan.

Walaupun tidak dinafikan, kadang kala sukar untuk ibu mendapatkan diet yang seimbang terutama sekiranya mengalami masalah loya, muntah, tiada selera makan dan terlalu sibuk di pejabat, maka suplemen mungkin dapat membantu anda mendapatkan nutrient yang diperlukan.

sumber : pa&ma